Wednesday, May 21, 2008
LOMPAT LOMPAT
2. Jika 35 ahli masuk parti lawan, parti BN akan jatuh. Parti lawan akan menang dan akan dirikan Kerajaan.
3. Apa akan jadi pada wakil rakyat BN yang lompat? Mereka tidak akan jadi Perdana Menteri kerana sudah tentu pemimpin Pakatan akan jadi PM. Ahli-ahli Pakatan yang lain juga ingin jadi Menteri dan Timbalan Menteri.
4. Berapa tempat yang tinggal pada ahli BN yang lompat? Tentu tidak semua mereka akan dapat tempat. Mereka akan terus jadi pengikut Pakatan sahaja, seperti mereka mengikut Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum mereka lompat.
5. Jika Ahli Dewan Rakyat BN keluar dari BN tetapi tidak masuk parti lawan mereka akan bebas menyokong atau menolak undang-undang atau dasar parti Kerajaan atau usul-usul parti lawan. Mereka bebas mengecam parti Kerajaan jika melakukan kesalahan, demikian juga apabila parti lawan membuat atau pun melakukan perkara yang salah.
6. Jika jumlah yang tinggal BN cukup untuk kurangkan penyokong Kerajaan supaya tidak ada majority lagi, Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah akan jatuh.
7. Kerajaan baru hanya boleh didirikan jika dipersetujui oleh ahli-ahli yang keluar BN, kerana mereka memiliki cukup undi untuk menentukan BN atau Pakatan yang menjadi majoriti dalam Parlimen.
8. Jika BN ganti Dato Seri Abdullah dengan orang lain yang berani, kumpulan yang keluar dari BN boleh sokong BN semula dan BN akan kembali jadi Kerajaan.
9. Ini adalah satu cara untuk memaksa Dato Seri Abdullah letak jawatan. Kemudian semua yang lompat boleh masuk balik parti masing-masing.
10. Percayalah, mereka daripada parti komponen BN yang telah sokong parti lawan PRU 12 akan kembali sokong BN apabila Dato Seri Abdullah bukan lagi Perdana Menteri.
Dipetik dari: chedet.com
Monday, May 19, 2008
TUN DR. MAHATHIR KELUAR UMNO- ANDA BILA LAGI?
Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.
UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.
Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.
Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.
Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.
Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.
Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.
Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.
Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.
Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.
Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.
Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.
Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.
Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.
Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.
Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.
Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)
UMNO 62 TAHUN
UMNO dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah menewas rancangan Malayan Union, British.
UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya merebut kemerdekaan daripada British.
UMNO dibawah tiga Perdana Menteri yang berikut telah berjaya menstabilkan negara dan membangunkannya sehingga menjadi negara contoh kepada negara=negara membangun yang lain.
Kepimpinan parti campuran (Perikatan dan Barisan Nasional) oleh UMNO memperolehi kemenangan dua-pertiga tiap pilihanraya Parlimen melainkan pada 1969. Kerajaan Malaysia yang didirikan semuanya kuat dan dihormati di dalam dan di luar negeri.
Tetapi dalam pilihanraya 2008 Barisan Nasional di bawah pimpinan UMNO kalah di lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan tidak mendapat dua-pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada ulangtahun ke-62 UMNO dilahirkan ahli-ahli dan pemimpin bawahan UMNO perlu memikirkan tentang keadaan parti pada hari ini. Bolehkah mereka gembira dengan prestasi UMNO sekarang? Bolehkah mereka percaya mereka masih kuat dan relevan seperti dahulu?
Pengasas UMNO memilih sistem demokrasi untuk parti kerana mereka percaya jika pemimpin UMNO menyeleweng, ahli boleh dengan hanya mengundi menukar pemimpin dan memulihkan keadaan.
Malangnya undi perwakilan UMNO boleh dibeli, justeru itu ia tidak dapat menjamin kepimpinan yang dipilih adalah cekap dan baik.
Percubaan dibuat supaya sistem pemilihan tidak mudah disalahguna. Dengan adanya sistem kuota, calon perlu mendapat pencalonan yang besar sebelum dapat bertanding. Sogokan kepada jumlah yang besar dipercayai sukar dilakukan.
Hari ini sistem kuota ini disalahgunakan dengan cara lain. Kali ini yang menyalahgunakannya ialah pemimpin besar UMNO sendiri. Kerana kuasa yang ada padanya, pemimpin besar dapat menghalang ahli melalui pelbagai cara supaya tidak mungkin mencalon selain darinya dengan cukup bilang untuk bertanding.
Ini boleh dilakukan kerana perwakilan ke Mesyuarat Agong UMNO termasuk pemimpin bahagian lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada perjuangan parti, perjuangan agama, bangsa dan negara.
Hari ini yang sanggup disogok akan mendapat sesuatu bagi diri mereka. Jika cara ini berterusan dua perkara boleh berlaku;
1) Wakil Rakyat dan Kerajaan akan dimiliki oleh orang yang sogok mereka. Mereka akan bekerja untuk orang ini dan bukan untuk UMNO dan perjuangannya.
2) Pengundi biasa dalam Pilihanraya akan menolak calon dari parti UMNO dan BN dan dengan itu parti lawan akan mengganti BN sebagai Kerajaan. Pada masa itu ahli biasa, pemimpin kecil dan besar, bahkan yang bakal menjadi Perdana Menteri pun tidak lagi akan mendapat apa-apa bagi diri mereka. UMNO akan menjadi tidak relevan dan akan hancur bersama parti-parti sekutunya. Contohnya dapat kita lihat sekarang. Gerakan, MIC ditolak oleh rakyat.
Sejarah akan kutuk orang yang menghancurkan UMNO. Mereka akan dianggap sebagai pengkhianat kepadanya, pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Sudah tentu orang Melayu yang akan kembali menjadi bangsa yang dihina dan dijajah dengan duit akan kutuk orang yang menyebabkan kecelakaan menimpa kaum bangsa mereka.
Pemimpin UMNO, terutama yang tertinggi yang memimpin parti ke arah kecelakaan ini akan dianggap pengkhianat yang terkutuk. Mereka yang turut sama kerana ingin mendapat sesuatu bagi diri sendiri juga akan dikutuk.
Inilah hasilnya apabila pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa akan tanggungjawab mereka terhadap parti, terhadap bangsa, agama dan tanahair, tetapi sebaliknya menjadi tamak untuk mengisi temolok diri sendiri sahaja. Na'uzubillah
dipetik dari- chedet.com
Wednesday, May 7, 2008
Hentikan pengswastaan lebuh raya untuk ringan beban rakyat
Kadar tol mungkin turun - itulah tajuk utama muka depan akhbar hari ini (8 Mei), yang memetik Menteri Kerjaraya, Ir Dato' Mohd Zin Mohamed sebagai berkata. Menurut beliau semua ini bergantung kepada kajian konsesi lebuh raya.
Sebenarnya kerajaan kena ambil balik tugas kendali lebuh raya seperti yang pernah dibuat oleh Lembaga Lebuhraya dulu. Harga tol pun murah fasal dia tidak fikir untung kerana ini adalah tanggungjawab.
Pelik tetapi benar inilah pengswastaan di negara kita, semuanya membebankan rakyat. Saya pun tidak tahu di manakah mereka ambil ilmu ini. Sepatutnya tujuan pengswastaan ia mengurangkan beban kerajaan dan menyenangkan rakyat. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Apabila projek gagal maka ia akan ditanggung oleh kerajaan kalau untung masuk tembolok mereka. Kalau kita lihat di negara-negara maju tidaklah banyak tol macam negara kita. Kiri, kanan, depan, belakang semua tol sampai rakyat pening, apabila hendak hantar anak ke sekolah dan pergi kerja. Tol mahal, minyak mahal, parking mahal. Semua ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia hari ini hidup dalam keadaan tertekan.
Memang berniaga tol ini untung. Yang seronok kalau kereta tidak lalu pun tidak apa, kerana kerajaan akan tanggung kalau rugi. Sebab itu wasiatlah kepada anak kita kalau besar esok jangan jadi peguam, jangan jadi doktor susah dapat untung tetapi jadilah tauke tol.
Cukai jalan dah ambil, tol kena lagi. Kalau kerajaan rasa tidak mampu mereka tidak payah perintah, bagi sahaja kepada Pakatan Rakyat pula perintah. Kalau hendak berniaga dan tidak mahu jaga kebajikan rakyat, lebih baik jadikan Malaysia ini sebuah syarikat, bukan kerajaan Malaysia.
Inilah akibat apabila amanah itu dianggap sebagai satu tempat untuk menghimpun kekayaan. Kalau amanah ini dianggap satu beban maka tidak ada orang yang hendak jawatan ini. Tetapi kalau amanah dianggap peluang maka semua orang berebut hendak menjadi pemimpin.
Kita hairan kenapa kerajaan takut hendak dedah apa perjanjian sebenar dalam semua projek pengswastaan di negara ini. Ada yang mengatakan bahawa perjanjian ini hanya berat sebelah, hanya menguntungkan kepada pihak tauke sedangkan kerajaan menanggung biawak hidup atas semua yang berlaku. Sebab itu empat pemimpin Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr Hatta Ramli, Tian Chua dan Ronnie Liew (semuanya sudah Yang Berhormat) dituduh di bawah OSA kerana mendedahkan perjanjian tol.
Sekarang kerajaan hendak kaji balik mengenai tol, semuanya kerana keputusan PRU Ke-12. Ini satu lagi umpan untuk hendak menarik balik sokongan rakyat yang semakin tertekan. Macam juga kerajaan tidak berani naik harga minyak takut rakyat naik minyak. Walalu pun harga sekarang minyak mencecah naik AS$120 setong, Dato' Seri Najib Razak kata kerajaan tidak akan naik harga minyak, gas dan elektrik.
Kenyataan ini berbeza sebelum PRU Ke-12 yang mengatakan kalau minyak turun, negara boleh bankrap, sekarang fasal apa tidak bankrap walaupun subsidi kerajaan untuk minyak mencecah RM45 bilion. Jawapannya kerana suara rakyat kuat maka pemimpin BN takut kalah dan menjadi melarat. -smber HARAKAHDAILYSEKADAR RENUNGAN
(Surah Al-Baqarah, Ayat 9)