BELUM pernah saya melihat suasana politik negara yang segawat ini. Pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pernah dipersetujui oleh timbalan dan naib-naib presiden tidak dipersetujui pula oleh salah seorang Naib Presidennya.
Iklan | |
Akhir-akhir ini, pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin mula kelihatan disokong oleh Najib supaya tarikh peralihan kuasa ditentukan perwakilan.
2) Sedang Pak Lah melahirkan kekecewaan, Muhyiddin sering dikaitkan pula dengan Ku Li dalam penyediaan pelan alternatif demi memulihkan Umno atau menggantikan Presiden Parti.
Sementara itu, Pak Lah dikejutkan pula dengan hajat terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke pangkuan Umno.
Dalam keadaan Datuk Ahmad Ismail yang dilihat menyentuh perkara sensitif mengenai kaum, tiba-tiba tak semena-mena wartawan daripada Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor ditahan di bawah ISA.
Selepas 24 jam dalam tahanan, Tan Hoon Cheng telah dilepaskan pula kerana mengikut Syed Hamid Albar, polis menahan beliau di bawah ISA kerana terdapat 'ancaman terhadap nyawa'(?)
Bukankah semua ini pelik namanya. Dalam keadaan kegawatan yang bertimpa-timpa, Datuk Zaid Ibrahim pula meletakkan jawatan.
Zaid meletak jawatan tetapi PM tidak mahu terima. Tanpa mengambil banyak masa, walaupun ditawar cuti dua minggu, Zaid tetap menolak dan mengisytiharkan peletakan jawatan beliau kerana tidak puas hati dengan penyalahgunaan ISA oleh kerajaan keesokan harinya.
Semakin menarik apabila semua akhbar 18 September memberitakan bahawa Zaid menyertai gerakan caucus yang dianggotai Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan lain-lain untuk menentang ISA.
3) Di tengah-tengah keghairahan ugutan ISA yang seakan-akan memanjangkan tangannya ke batang tengkok Dato� Seri Anwar Ibrahim, Majlis Peguam yang disertai oleh 12,000 peguam telah membuat EGM Khas pada 20 September 2008; membantah keras ISA bahkan mendesak membatalkan Akta yang zalim ini.
Pada tahun 1998, Umno cuba memerangkap Anwar dengan tuduhan liwat. Walau terpaksa memunggah bantal dan tilam sambil mengutip rambut dan bulu untuk menegakkan pembuktian, Anwar telah ditumbuk dan ditendang ke lokap dan dipaksa menjalani enam tahun hukuman.
Anehnya, di hujung pertimbangan Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah. Tidak serik dengan pengalaman pahit ini, Umno sekali lagi dilihat cuba mengitar semula tuduhan liwat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Belum didapati bersalahpun sekali lagi Anwar telah terpaksa melalui lorong ejekan untuk dicerca oleh media.
Ini yang saya katakan, keadaan negara yang sedang berada dalam sebuah krisis kepercayaan yang tenat. Hati saya sentiasa bertanya sama ada; politikkah ini atau kecelaruan?
Dalam kes tuduhan liwat ini, boleh dikatakan semua ahli ilmu yang ikhlas kerana Allah telah menegur kerajaan yang suka menuduh tanpa mengikut sistem pembuktian yang telah dilandaskan oleh Kitab Allah S.W.T.
Semua peraturan ini berada di dalam Hududullah. Adalah menjadi kewajipan bagi mana-mana pemerintah yang taklif yakni dibebankan dengan hukum untuk menanggung dan melaksanakan ketentuan Allah S.W.T.
Perintah Allah ini telah wujud sebelum wujudnya Umno dan sebelum wujudnya PAS.
Tuduh orang kerja mungkar
Menuduh orang sesuka hati adalah kerja semua kerja mungkar.
4) Sekarang, Datuk Seri Dr Rais Yatim pula kelihatan mengumpan rakyat Malaysia dengan tohmahan yang lain. Tanpa perlu menunggu lama, keesokan harinya Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mendorong rakyat melihat Datuk Seri Anwar sebagai ancaman.
Ini diikuti pula oleh Tan Sri Muhammad Muhd. Taib selaku Ketua Penerangan Umno yang mencampur adukkan apa yang disebutkan oleh Rais dengan sentimen Cina dan India yang kononnya boleh mencetuskan keresahan kaum.
Sedangkan yang resah adalah Umno kerana kemaraan Anwar dengan 31 'penyokong baru' cukup berpotensi untuk meruntuhkan Umno/BN. Boleh dikatakan semua rakyat boleh berfikir bahawa Umno/BN yang sedang bercelaru.
Rakyat sedang tenang menjalani ibadat puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail pada bulan Ramadan ini. Demikian juga dengan masyarakat Cina dan India. Mereka cuma resah melihat pemimpin-pemimpin Umno yang gelisah.
Anwar bukan ancaman kepada keselamatan negara tetapi ancaman kepada survival Umno. Inilah yang menjadikan mereka kehilangan arah.
Sekali menuduh Anwar melakukan liwat. Sekali menuduh Anwar rasuah. Sekali menuduh Anwar agen asing. Sekali menuduh Anwar disokong oleh Amerika.
Sekali menuduh Anwar pengancam kepada ekonomi dan keselamatan negara. Dalam rekaan alasan yang berputar-putar itulah rakyat khuatirkan keselamatan Anwar. Sebab itu saya awal-awal lagi menyebutkan tentang kekhuatiran saya terhadap Anwar yang mungkin akan diISAkan.
ISA jadi alat
Walaupun hati saya lega apabila Datuk Seri Perdana Menteri seakan-akan mengeluarkan jaminan bahawa ISA tidak akan digunakan ke atas Anwar tetapi maklumat yang kononnya diperolehi oleh Menteri Luar bahawa Ketua Pembangkang sedang diperalatkan oleh US untuk menghuru harakan Malaysia (Utusan Malaysia 20 September 2008) cukup merisaukan saya semula.
Ingatlah bahawa di dalam Al-Quran sudah berapa banyak Maharaja yang ditolak ke neraka kerana suka menzalimi orang-orang yang baik. Firaun, Namrud dan Haman jauh lebih handal daripada pemimpin-pemimpin Malaysia.
Al-Quran merakamkan nasib mereka, "Maka Kami hukumlah Firaun dan bala tenteranya, lalu kami lemparkan mereka ke dalam laut.
Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong." (Surah A-Qashash: Ayat 40 dan 41).
5) Kita kena faham bahawa kita ini adalah makhluk yang dicipta. Atas belas ehsan Allah S.W.T. kita diberi kesempatan untuk hidup di muka bumi. Bumi ini adalah tempat ujian untuk kita membuktikan pengabdian kita kepada Allah S.W.T.
Setiap denyut jantung dan putaran darah yang memunggah masuk keluarnya oksigen dan karban dioksida dan hati selaras proses pembersihan buah pinggang untuk menyempurnakan pula penghadaman dan pembuangan melalui usus kecil dan usus besar adalah terjadi atas anugerah dan kudrat iradat Allah S.W.T.
Sama ada kita tidur atau berbaring, segala proses biologi yang mengambil tempat dalam tubuh kita setiap hari semuanya diatur rapi oleh Allah S.W.T. Semua nikmat yang telah disempurnakan ini untuk menguji setiap hamba sama ada mahu membuat maaruf atau mungkar.
Memfitnah orang ini sebenarnya sebuah kemungkaran. Sama seperti menuduh zina, menuduh Anwar tanpa bukti atau menuduh Anwar sebagai tali barut Amerika adalah kerja dosa.
Lebih zalimlah jika dalam keadaan bukti yang tiada, Anwar mahu disumbat sekali lagi ke sel menggunakan Akta ISA. Walaupun Rais Yatim menyatakan tentang adanya 'pihak tertentu' tetapi bolehkah rakyat diberitahu tentang siapakah mereka?
Insiden Memali
Sebenar manakah mereka? Saya masih tidak lupa betapa Dato� Seri Rais Yatim pernah terlibat dalam menjelaskan punca fenomena insiden Memali yang mengorbankan 14 syuhada pada tahun 1986.
Rais Yatim jugalah yang bersungguh-sungguh untuk menjelaskan kewajaran kepungan dan pembunuhan yang berkaitan. Walau bagaimanapun 24 tahun kemudian, belum ada lagi sebarang bukti bahawa mereka adalah ancaman terhadap keselamatan negara. Apakah kali ini Rais Yatim tidak akan silap?
6) Sibuk sangat khuatirkan Anwar yang kononnya boleh dijadikan 'pemimpin ke hadapan' yang akan dijadikan alat Amerika, sedangkan pada pengamatan saya, pemimpin Umno sejak dari awal penubuhannya lagi selalu memisahkan agama dengan politik.
Pegangan politik sekular ini sangat direstui oleh Amerika dan Yahudi. Ini yang pernah saya katakan bahawa Umno menjadi penyokong dan proksi kepada Amerika dan yahudi di negara ini sejak dahulu lagi.
Saya tidak membela Anwar Ibrahim dan melawan Datuk Seri Abdullah mengikut sentimen dan nafsu yang fujur semata-mata. Saya cuma mahu menjadi pembela kebenaran. InsyaAllah saya bersama-sama dengan 'Al haqqul mubim'.
7) Saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menghayati maksud Ayat Allah ini dalam Surah An Nisaa'. Ayat 105 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang-orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat."
Kunci kepada Ayat ini ialah "kamu jangan membela orang-orang yang jahat dengan memberi keadilan melalui wahyu Allah yang telah diturunkan kepada kamu."
8) Ramadan Karim. Ini bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan. Ingatlah. Tuhan Maha Berkuasa untuk menentukan segala sesuatu. Dalam kisah Nabi Allah Saleh Alaihissalam disebutkan begini:
"Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyamaratakan mereka (dengan tanah) dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakanNya itu." (Surah Asy Syams : Ayat 14 dan 15).
Dari Ayat ini jelas bahawa "mereka dibinasakan di atas dosa-dosa mereka." -DIPETIK DARI HARAKAHDAILY.NET
No comments:
Post a Comment