Dasar luar sesuatu negara atau sesuatu wilayah wajar disesuaikan dengan tuntutan dan perkembangan semasa di negara atau wilayah terbabit.
Lantaran itu, kerajaan serta NGO Malaysia wajar menggesa negara-negara pengeluar minyak dan gas terbesar di Asia Barat untuk menjadikan kedua-dua komoditi ini sebagai komponen utamanya dalam pembentukan dasar luar mereka terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang menjadi pelindung utama Israel yang mengganas dan menzalimi umat Palestin.
Dengan itu, negara-negara terbabit pasti mampu menjadikan minyak dan gas sebagai senjata utama dan strategik mereka dalam mempengaruhi AS dan Britian mengarahkan Israel memberhentikan kezaliman serta keganasannya di Palestin atau lain-lain wilayah sasarannya.
Negara-negara di Teluk Parsi, termasuk Arab Saudi, Iran dan Iraq, mempunyai rizab minyak sebanyak 679 billion tong atau 66 peratus dari keseluruhan rizab minyak dunia. Mereka juga mempunyai rizab gas cecair asli sebanyak 1918 trillion kaki padu atau pun 35 peratus dari keseluruhan rizab gas cecair asli di dunia ini.
Keseluruhan negara di Asia Barat, kecuali Israel, mempunyai rizab minyak sebanyak 685.6 billion tong dan rizab gas cecair asli sebanyak 2367.9 trillion kadi padu. Pecahannya, adalah seperti berikut:
Arab Saudi: 261.8 billion tong rizab minyak dan 228.2 trillion kaki padu rizab gas cecair asli;
Iraq, 112.5 ribu billion tong rizab minyak dan 112.6 trillion kaki padu rizab gas cecair asli;
Iran, 89.7 billion tong rizab minyak dan 939.4 trillion kaki padu gas cecair asli;
Emiriyah Arab Bersatu: 97.8 ribu juta tong rizab minyak dan 204.1 trillion kaki padu rizab gas cecair asli.
Perangkaan (2004) ini jadi bertambah besar jika diambilkira rizab minyak dan gas cecair asli di negara-negara Islam lain, termasuk Malaysia, Brunei dan Indonesia di Asia Tenggara; Azerbaijan, Kazakhstan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Afghanistan di Asia Tengah; Pakistan di Asia Selatan, serta Algeria, Mesir, Libya, Morocco dan Sudan, di Afrika.
Hakikat ini dicemburui oleh AS yang kini dalam keadaan terdesak kerana sumber minyak dan gas cecair aslinya dipercayai hampir kering kontang. Sebab itulah Henry Kissinger, Bekas Setiausaha Negara AS, pernah menyatakan bahawa “minyak adalah satu komoditi penting yang tidak boleh dibiarkan dikuasai oleh negara-negara Arab.”
Kedudukan telaga minyak dan gas cecair asli di negara-negara bukan Islam (berdasarkan perangkaan 2004) adalah seperti berikut:
Wilayah-wilayah Amerika Utara: 54.2 billion tong rizab minyak dan 282.1 trillion kaki padu rizab gas cecair asli;
Amerika Tengah dan Amerika Selatan, 96 billion tong rizab minyak dan 250.2 trillion kaki padu rizab gas cecair asli;
Eropah Barat, 17.7 billion tong rizab minyak dan 182.4 trillion kaki padu rizab gas cecair asli;
Eropah Timur dan Russia: 50.7 billion rizab minyak dan 150.5 trillion kaki padu rizab gas cecair asli; China, 24 billion tong rizab minyak dan 42.8 trillion kaki padu rizab gas cecair asli.
Perangkaan di atas membimbangkan AS kerana pengeluaran minyak dan gas cecair asli di dunia ini - melainkan di Asia Barat, Asia Tengah dan Lembah Caspian - dijangka merosot dan kering dalam tempoh terdekat ini.
Oleh itu, inilah masa yang terbaik bagi negara-negara pengeluar minyak dan gas di Asia Barat bertindak secara berani dan strategik untuk menjadikan komoditi berkenaan sebagai senjata utama mendesak AS, Britain dan sekutu lainnya mengarahkan Israel memberhentikan segera keganasan serta kezalimannya di Asia Barat.
Insafilah bahawa 10 daripada pengguna petroleum yang terbesar pada 2002, enam adalah kalangan negara-negara maju, termasuk AS dan Britain - dua negara utama yang amat memihak kepada Israel.
Pandangan di atas wajar dihalusi oleh semua pihak, baik pemimpin atau intelektuil dunia yang prihatin terhadap keganasan serta kezaliman Israel di Asia Barat.
Janganlah setiap kali zionis Israel mengganas di Palestin atau Lebanon sehingga mengorbankan ratusan ribu umat manusia - Islam dan bukan Islam - yang tidak berdosa, termasuklah kanak-kanak, dan menghancurkan khazanah pusaka negara-negara terbabit, reaksi paling lazim di kalangan warga massa dunia Islam dan bukan Islam hanyalah dalam bentuk ledakan emosi semata-mata.
Ledakan emosi ini memang relevan dan baik. Ia membuktikan keprihatinan warga dunia terhadap kesejahteraan umat manusia sejagat. Tetapi, ledakan ini lazimnya hanya dimanifestasikan menerusi tunjuk perasaan, penyerahan nota bantahan ke kedutaan Israel atau kedutaan AS, seruan sekatan ekonomi atau seruan untuk memboikot prudok negara terbabit.
Di kalangan para pemimpin dunia, tindakan yang paling lumrah terhadap Israel hanyalah menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakah sidang tergempar untuk meluluskan resolusi mengutuk keganasan serta kezaliman berkenaan.
Reaksi dan tindakan seperti ini adalah stereotype. Impaknya tidak ke mana - ibarat kesan tindakan anjing menyalak bukit atau mencurah air ke daun keladi.
Oleh itu, rakyat dan kepimpinan Malaysia khususnya, perlulah mencari suatu bentuk reaksi dan tindakan yang lebih strategik, serius dan berkesan. Contohnya, kumpulan prihatin di Malaysia wajar menghantar nota ke kedutaan Arab Saudi untuk menggesa negara Islam yang menjadi pelindung kepada Mekah dan Madinah ini bersuara lantang dan berperanan lebih tegas terhadap keganasan serta kezaliman Israel di Asia Barat.
Arab Saudi serta lain-lain negara pengeluar minyak dan gas yang besar di Asia Barat wajar digesa bersatupadu untuk merangka sesuatu tindakan strategik bagi menggesa AS dan Britain mengarahkan Israel memberhentikan keganasan serta kezalimannya di Palestin dan Lebanon dengan serta-merta.
Majoriti negara di Asia Barat mempunyai sumber petroleum dan gas yang amat penting kepada seluruh dunia Barat dan Timur.
Tetapi, kerana industri petroleum dan gas di wilayah itu sebilangan besarnya dikuasai oleh kapitalis Barat (terutamanya kapitalis zionis), negara-negara di Asia Barat perlulah menggunakan sumber strategik itu untuk dijadikan senjata utama mendesak AS dan Britain menyelesaikan isu Palestin dan lain-lainnya dengan segera, tegas dan berkesan.
Pandangan di atas mungkin terlalu ideal. Ia mungkin hanya akan jadi cita-cita yang tidak terdaya dicapai.
Tetapi, pihak yang berfikiran strategik seharusnya insaf bahawa jika AS atau Britain berani menggunakan terorisme sebagai komponen utama kepada dasar luar dan sikap hegemoniknya di abad ke-21, mengapakah tidak negara-negara pengeluar minyak dan gas terbesar di dunia mutakhir ini menjadikan komoditi ini sebagai komponen utama kepada pembentukan dasar luar masing-masing pada saat dan ketika ini?
Fikir-fikirkanlah!
No comments:
Post a Comment