Wednesday, September 24, 2008
MAJLIS TERTINGGI
1. Perbincangan di dalam Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya rahsia. Jadi amat memeranjatkan apabila akhbar melaporkan beberapa butiran penting berkenaan mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada hari Khamis, 18hb September. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah laporan tersebut mendedahkan tentangan terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh beberapa ahli majlis dan desakan oleh mereka agar peralihan kuasa diadakan sebelum mesyuarat Bahagian-bahagian yang akan menamakan calon Presiden.
2. Difahamkan bahasa yang digunakan sesetengah ahli agak keras. Dato Seri Rafidah Aziz turut membangkitkan peranan yang dimainkan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan anak beliau, Kamaluddin.
3. Begitu keras bahasa yang digunakan hinggakan muka Abdullah berubah. Beliau nampak tertekan dengan desakan ahli majlis apabila Dato Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa menjadi penyelamat Abdullah, menghentikan mesyuarat. Najib berjanji untuk bercakap dengan Abdullah berkenaan hal ini.
4. Difahamkan ahli Majlis Tertinggi yang lain merasa tidak puas hati kerana sekali lagi perkara kontroversi yang melibatkan majlis dijadikan bahan perbincangan tertutup antara Abdullah dan Najib. Menidakkan hak majlis adalah sesuatu yang sering dilakukan Abdullah dan Najib. Mereka berdua akan membuat keputusan yang tidak pun memuaskan hati ahli majlis. Najib kemudian akan tekankan betapa pentingnya untuk bersatu dan setia kepada Presiden.
5. Keadaan kali ini juga sama seperti sebelumnya. Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah rumit, Abdullah akan meminta nasihat keluarganya, terutama anak dan menantunya termasuk sekarang ini isterinya.
6. Umum mengetahui keluarganya mempunyai kuasa dan kebebasan untuk mempengaruhi segala keputusan-keputusan Abdullah berdasarkan kepentingan diri mereka iaitu untuk mengaut sebanyak mana kekayaan yang mungkin dan untuk mempastikan cita-cita politik Khairi termasuk untuk menjadi Perdana Menteri termuda.
7. Apabila tiba masanya untuk bertemu Najib, Abdullah sudahpun diberi taklimat oleh keluarganya tentang apa yang harus diperkatakan. Dan Najib akan terima apa sahaja keputusan Abdullah untuk meleraikan masalah yang timbul. Di dalam kes ini, Abdullah akan tetap dengan pendiriannya untuk kekal hingga Jun 2010 atau mungkin awal sedikit sebelumnya. Najib kemudian akan ditugaskan untuk "menjual" keputusan ini kepada Majlis Tertinggi. Dengan ini Najib akan lebih dipandang rendah oleh ahli majlis dan rakyat apabila sikapnya ini didedahkan kepada umum.
8. Apabila UMNO ditubuhkan, pemimpin terdahulu memastikan yang tidak akan ada keputusan-keputusan yang bercanggah dengan asas perjuangan parti dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Apa yang terjadi kepada Dato Onn, Yang di-Pertua UMNO yang pertama merupakan contoh terbaik. Presiden tidak diturut secara buta-tuli. Sebaliknya apabila beliau mencadang sesuatu yang bercanggah dengan perjuangan parti, cadangan beliau ditolak dan sebagai seseorang yang mempunyai maruah, beliau telah mengundur diri.
9. Selama lebih kurang 50 tahun, Majlis Tertinggi memain peranan ini. Demikian apabila (Tun) Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden parti, Majlis Tertinggi yang bersidang tidak bersetuju bulat-bulat dengan Presiden, sebaliknya bermesyuarat hingga ke awal pagi dan membuat keputusan, walau apa juga pendapat Presiden, untuk menghantar satu delegasi yang terdiri daripada ahli-ahli kanan majlis ke London untuk memujuk Musa menerima kembali jawatan Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri. Musa bersetuju kembali sebagai Timbalan Presiden tetapi tidak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dengan itu beliau berada di landasan yang baik untuk cuba menjatuhkan saya dengan mempengaruhi Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden menentang saya. Secara kebetulan semasa berkempen untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, beliau mendakwa mendapat sokongan saya.
10. Tetapi apabila Abdullah mengambil alih Presiden parti merangkap Perdana Menteri, perwatakan Majlis Tertinggi bertukar. Ianya menjadi alat peribadi Abdullah untuk melulus dan menghalalkan apa sahaja yang beliau buat.
11. Saya percaya pada hari Khamis keadaan ini telah berubah sedikit. Beberapa orang ahli telah berani meyuarakan desakan supaya Abdullah melepas jawatan awal. Sudah tentulah penyokongnya tidak beralih arah. Demikian ada kemungkinan majlis pecah dua.
12. Saya rasa ini merisaukan Najib yang hendakkan peralihan kuasa secara aman supaya parti tidak pecah-belah. Oleh itu dia akan terima apa sahaja cadangan yang membenarkan Abdullah lepaskan jawatan dengan penuh kegemilangan.
13. Malangnya Najib tidak akan capai impiannya. Tidak pernah ada Presiden UMNO yang begitu sekali dibenci rakyat seperti Abdullah. Melayu, Cina dan India, samada ahli parti komponen Kerajaan mahupun penyokongnya atau rakyat kebanyakan kesemuanya mahukan Abdullah mengundur diri. Lagi cepat lagi baik.
14. Yang mahukan beliau terus pegang jawatan adalah mereka yang kedudukan mereka bergantung kepadanya, atau mereka yang mendapt untung daripada pemberian kontrak dan sebagainya oleh beliau. Bagi sesetengah yang lain, termasuk kakitangan awam, hanya ketakutan terhadapnya yang menyebabkan mereka tidak mahu bersuara tetapi mereka tetap marah.
15. Yang peliknya ialah yang benar-benar menyokong Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah pembangkang. Karpal Singh, Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz Nik Mat hendakkan beliau (Abdullah) kekal sekurang-kurangnya hingga pilihanraya akan datang.
16. Tetapi ini bukanlah kerana mereka sayang kepadanya tetapi kerana mereka percaya dengan beliau mengepalai Barisan Nasional, pembangkang mempunyai peluang yang lebih cerah memenangi pilihanraya umum ke-13 dan mendirikan Kerajaan. Mereka rasakan yang mereka hampir mencapai matlamat mereka dan tidak mahu golongan yang memberontak di dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP kembali kepada parti dan menyukarkan usaha mereka untuk kalahkan BN.
17. Begitulah Majlis Tertinggi yang tidakpun lagi tinggi.
dipetik dari: chedet.com
Tuesday, September 16, 2008
MUFTI PERLIS: ISA TIDAK DIPERLUKAN UNTUK BELA ISLAM

Oleh: ZIEMAN
Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.
Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.
“Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.
“Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.
“Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.
Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.”
Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.
“Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.
“Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.
Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.
“Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.
Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.
“Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.
“Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya.
Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.
“Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.
“Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.
Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.
“Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.
Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.
“Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.
Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.
“Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.
Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.
Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.
“Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.
sumber: Mstar Online
Anwar mahu jumpa PM, mengadap YDP Agong untuk bentuk kerajaan
PETALING JAYA, 16 Sept (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menunggu jawapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan demokratik.
Iklan | |
![]() | |
Anwar berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telahpun memberikan komitmen untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.
Tegasnya, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat mandat penubuhan kerajaan baru.
Semua proses ini katanya, walaupun melepasi 16 September, namun ianya harus dilakukan secara teratur, aman dan demokratik menurut lunas-lunas Perlembagaan Negara.
Katanya, beliau memberikan masa kepada PM beberapa hari ini untuk membuat keputusan bertemu dengan Pakatan Rakyat seberapa segera.
"Saya fikir PM tiada sebab untuk tidak bertemu dengan kami (Pakatan Rakyat)," katanya.
Anwar menegaskan demikian dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat dekat sini. Antara pemimpin yang hadir ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK DAP Pusat, Tan Kok Wai.
Menurut Anwar setakat ini jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan melebihi 31 orang dan jumlah yang memberikan komitmen mereka bertambah dari masa ke semasa.
"Ini bukan omong kosong. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita sudah bersedia untuk melakukannya," kata beliau.
Selain itu beliau turut menegaskan jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.
Menjawab soalan wartawan, Anwar tidak menafikan antaranya adalah yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri serta lain-lain pemegang jawatan utama dari pelbagai parti.
Walaupun diasak pelbagai desakan wartawan meminta beliau mengemukakan senarai tersebut, Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang ahli-ahli parlimen tersebut akan diugut.
Katanya, apa yang penting Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan ISA dan sebarang bentuk sekatan kepada perubahan kerajaan.
Semalam, wakil dari Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Abdullah untuk mengadakan pertemuan.
Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.
"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," kata Anwar
Anwar turut berkata masa yang cukup perlu diberikan kepada Abdullah kerana Presiden Umno itu kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.
"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.Anwar: Lebih 31 MP BN sertai Pakatan
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lebih daripada 31 ahli parlimen Barisan Nasional telah menyertai Pakatan Rakyat dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak menguatkuasakan undang-undang darurat untuk menghalang peralihan kuasa.
Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar yang penuh sesak di pejabat PKR di Tropicana pada jam 2 petang tadi.
Beliau bagaimanapun tidak mendedah sebarang nama ahli parlimen BN yang menyertai Pakatan.
"Kami mahu peralihan kuasa secara aman. Kami berharap Barisan tidak menguatkuasa undang-undang darurat untuk menyekat ahli-ahli parlimen pergi ke Dewan Rakyat atau menahan ahli-ahli parlimen (kerajaan) atau menghalang mereka daripada menyertai Pakatan Rakyat," katanya.
Kerana itulah, tegas mantan timbalan perdana menteri itu, pihaknya mengambil pilihan yang lembut.
"Saya bukan mahu memberi alasan. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita boleh dan bersedia untuk melakukannya. Jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.
Semalam, Pakatan Pakatan yang diketuai Anwar telah menghantar surat kepada Abdullah semalam untuk mengadakan pertemuan.
Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.
"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," katanya sambil menambah bahawa Abdullah kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.
"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.
Pakatan mempunyai 81 daripada 222 kerusi parlimen. Anwar berusaha supaya ahli-ahli parlimen BN melompat menyertai Pakatan untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.
"Ia mungkin berlaku beberapa hari lagi (peralihan kuasa dalam kerajaan)," katanya.
Menurut Anwar, pertemuan telah tertunda beberapa hari untuk memberi ruang kepada perdana menteri menyelesaikan beberapa perkara.
"Jika perdana menteri menolak sekarang, kita akan memberi sedikit ruang kerana beliau ada masalah parti, kita beri ruang untuk kepentingan nasional," katanya.
Anwar berkata, dalam keadaan sekarang, perdana menteri tidak perlu risau untuk mengadakan rundingan.
Katanya, tindakan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Teresa Kok adalah untuk menyekat perubahan rakyat.
"Saya minta kerajaan tidak halang termasuk mengadakan sekatan jalan raya dan sekatan-sekatan lain untuk bergerak ke Parlimen dalam tempoh ketika yang ditetapkan.
"Sebaik selesai mesyuarat dengan perdana menteri, kita akan patuh perlembagaan termasuk mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan ," katanya.
Ketika ditanya mengapa enggan memberikan nama-nama ahli parlimen BN yang menteri Pakatan, Anwar berkata, jika nama tersebut diberikan, mereka akan ditahan serta merta.
Beliau berkata, nama-nama ahli parlimen BN yang menyertai Pakatan akan diberikan dalam pertemuan dengan perdana menteri.
"Saya sudah mempunyai jumlah yang cukup, untuk mendapatkan tandatangan mereka bukan satu masalah," katanya.
Anwar berkata, ramai orang tidak percaya, sama dengan yang mereka kata mustahil Pakatan menang di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.
Katanya, seperti mereka kata mustahil, beliau boleh menambah majoriti di Permatang Pauh.16 Sept: Kenyataan penuh Anwar
Keadaan ekonomi yang merudum jatuh dengan kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi telah menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang meluap-luap. Hubungan antara kaum menjadi tegang, diburukkan lagi dengan propaganda oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Pentadbiran sekarang gagal untuk menawarkan jawapan buat negara kita keluar dari kedudukan sukar ini.Pakatan Rakyat yakin dapat menyelamatkan Malaysia dari masalah ekonomi dan politik berbaur perkauman. Kami akan melaksanakannya secara bertanggungajwab, menuruti prinsip undang-undang dan tidak akan sama sekali menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara dan rakyat negara ini.
Pakatan Rakyat kini memiliki majoriti yang selesa untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil. Kerajaan baru yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk.
Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam.
Dengan mandat ini kami bertekad untuk melaksanakan peralihan kuasa yang aman. Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.
Kami mengingatkan kepada elemen radikal di dalam Barisan Nasional agar tidak menyalahgunakan kuasa serta menahan para penyokong Pakatan Rakyat. Penyiasatan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh BPR terhadap Dato Seri Yong Teck Lee selepas mengumumkan akan membuat undi tidak percaya terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan di antara taktik yang kita tolak. Penggunaan ISA terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok merupakan contoh untuk menghalang perubahan dengan tidak mengikut lunas-lunas perundangan.
Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam dan kami menuntut beliau memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti berikut :
1) Agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan;
2) BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan ahli parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat atau ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 82 itu;
3) Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis, atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa;
4) Dan Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat sekatan jalan raya dan menghalang ahli parlimen, dari memasuki parlimen dan juga institusi-institusi kerajaan lainnya.
Kami yakin Perdana Menteri berkongsi keperihatinan yang sama terutamanya berkenaan kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Kami percaya beliau akan memastikan Barisan Nasional bertindak mengikut perlembagaan dan prinsip-prinsip demokratik demi memastikan peralihan kuasa yang aman, serta tiada tindakan sabotaj untuk menghalang hasrat rakyat ataupun menggunakan retorik berbaur perkauman.
Kami menyeru masyarakat di semua lapisan agar memahami hasrat kami semata-mata untuk kebaikan negara ini. Saya juga ingin mengingatkan media massa jangan lagi berada di dalam penafian dengan meneruskan propaganda bahawa kami berbohong. Kita sekarang berada dalam era baru maka saya menyeru media massa meninggalkan tabiat lama dan mengambil iltizam untuk meningkatkan professionalisme kewartawanan.
Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
Tuesday, September 2, 2008
PANTUN CARI GANTI
Kota sarat disimpan tempayan
Zahir berlian di sunyi hari
Harta rakyat dijadikan taruhan
Akhir kebencian menjadi api.
Kelapa diparut dimakan sama
Bila kebencian menjadi api
Apa dihasut ditelan semua
Anak singa di Pulau Teberau
Anak tebuan seekor lari
Jika negara sudah kacau
ELOKLAH TUAN MENGUNDUR DIRI.
Pergilah mandi di Titi Tinggi
Jalan tersepak tali pencuci
Carilah ganti berbudi tinggi
BUKAN PEROMPAK GANTI PENCURI.
nukilan: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SEKADAR RENUNGAN
(Surah Al-Baqarah, Ayat 9)









