Dato' Ahmad Said telah mengeluarkan tentang penyelenggaraan yang tidak ekonomik ke atas kenderaan rasmi Exco Terengganu menyebabkan mereka menukar Proton Perdana V6 Executive kepada Mercedez E200 Kompressor.
Kata Menteri Besar itu, kerajaan terpaksa membayar RM175,229.97 ke atas servis sebuah kereta Perdana bagi empat tahun lalu dan RM132,357.76 bagi sebuah kereta lagi.Dengan itu kerajaan pun menukar kesemua motokar Perdana itu kepada Mercedez dengan kos semuanya RM3.34 juta.
Ia dikatakan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan pusat kerana Mercedez itu dipasang di Pekan, Pahang. Masih dalam negeri.
Apa yang berlaku, malang berlaku atas dua buah kereta Perdana itu. Bukan kesemua. Tiada maklumat dari kerajaan pusat dan negeri-negeri lain tentang belanjaan penyelenggaran besar terhadap kenderaan rasmi itu.
Melaka dan Perlis sudah menyatakan ia kekal dengan Perdana.
Penyelenggaraan ke atas dua buah kereta Terengganu termasuk dalam apa yang dikatakan "beyond economic repair". Tak menguntungkan untuk dibaiki.
Sekali baiki menelan sekitar RM60 ribu. Pegawai yang bertanggungjawab tentang penyelenggaraan sepatutnya telah terlatih bahawa kereta itu tidak perlu dibaiki lagi. Lelong saja. Tidak lagi ekonomik membaikinya.
Adalah lebih baik pada ketika itu pegawai berkenaan mencadangkan kepada kerajaan supaya membeli Perdana yang baru. Ia lebih ekonomik membeli yang baru daripada membaiki yang rosak itu.
Dianggarkan kos kereta baru sekitar antara RM100 ribu dan RM130 ribu. Ia lebih menjimatkan dari membaikinya yang menelan RM175,229.97.
Apabila kereta itu dibaiki sekitar RM60 ribu, nilai harganya susut dengan banyak. Tiada siapa mahu membelinya mengikut harga pasaran kereta terpakai. Tak guna membaikinya. Kelemahan yang sama diulangi lagi hingga kos menyelanggaranya memang melangit.
Mengapa pegawai penyelenggara tidak mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak membaikinya bagi diganti dengan kereta baru? Pegawai tersebut sepatutnya faham akan amalan biasa, mana-mana yang membebankan dilupuskan saja. Semua pegawai mengetahui kaedah itu. Kecuali di Terengganu itu saja.
Dan pegawai kewangan negeri patutnya sedar hal itu. Mengapa dia terlepas pandang tindakan pegawai penyelenggara itu? Dan ia juga sepatutnya dalam pengetahuan SUK. Mengapa SUK membenarkan ia terus dibaiki hingga membebankan kerajaan negeri.
Jika semua pegawai itu terlepas pandang, di mana pula peranan pegawai audit? Audit sepatutnya membangkitkan perkara itu pada pembaikan pertama yang membebankan itu. Tidak patut diluluskan untuk dibaiki hingga datang Menteri Besar baru.
Semua ini berlaku dalam masa pentadbiran Dato' Idris Jusoh. Senggara kenderaan rasmi Idris Jusoh sendiri dalam tempoh perkhidmatnnya sebagai Menteri Besar paling tinggi dikatakan RM235,123.08. Kos itu membolehkan dibeli dua buah Perdana baru.
Memang patutlah Idris Jusoh tidak dilanjutkan lagi perkhidmatannya.
Pegawai Kewangan memberi alasan kereta yang bermasalah itu dibaiki di mana-mana bengkel saja kerana tidak semua daerah di Terengganu ada bengkel yang ditaulilah oleh Proton untuk membaiki kereta Proton.
Kalau ia tidak ada di semua daerah, tetapi ia tentu ada di daerah Kuala Terengganu. Bukankah kesemua Exco itu berpejabat di Kuala Terengganu, malah masing-masing berumah di Kuala Terengganu. Mengapa ia tidak dibawa ke Kuala Terangganu?
Belanja menarik kereta itu dari tempat ia rosak ke bengkel Kuala Terengganu adalah jauh lebih rendah dari caj yang dikenakan di tempat yang tiada bengkel tauliah Proton.
Penjelasan Pegawai Kewangan itu langsung tidak membantu kerajaan Terengganu bagi menjustifikasi mengapa kos senggara begitu tinggi. Dan ia juga tidak dapat membanggakan martabat pegawai kerajaan Terengganu.
Perkara yang dibangsakan dengan "beyond economic repair" itu diketahui sangat oleh semua pegawai baik awam mahupun pegawai tentera dan polis. Bila ia tidak dapat difikirkan oleh pegawai kerajaan Terengganu, maka dilihat betapa rendahnya keupayaan pegawai kerajaan Terengganu membuat pertimbangan.
Ahmad Said sendiri adalah bekas pegawai kerajaan negeri sebelum jadi orang politik. Dia Exco di bawah pentadbiran Idris Jusoh. Kereta rasminya ssendiri pernah menelan RM49 ribu servis dalam tahun 2007.
Dari serendah pegawai senggara hingga ke Pegawai Kewangan dan SUK tidak terfikir membeli Perdana yang baru lebih untung dari membaikinya. Sebelum kereta itu dibaiki, bengkel memberi anggarannya dulu. Maka bila anggaran itu diberi, pegawai sudah boleh membuat keputusan.
Mungkin pegawai-pegawai kerajaan negeri perlu diberi kursus dari semasa ke semasa di bawah PTD bagi membolehkan tindakan ganjil ini tidak berlaku.
Atau kalau pegawai itu sudah cekap, tetapi berlaku kelemahan disebabkan oleh masing-masing main kayu tiga. Ia mungkin gara-gara tidak amanah.
Sebelum PBR bertindak mendatangi pengendali senggara kenderaan yang paling mahal dan menjolok mata, saya mendengar pandangan orang awam di surau dan kedai kopi.
Tidak masuk akal kos senggara itu melangit. Mesti gara-gara sendiwara kayu tiga.
Elok benar BPR mendatangi orang-orang yang terlibat. Semuanya wajar ditanya dari pengendali bengkel-bengkel, pegawai senggara, pegawai-pegawai yang di atasnya, Exco dan Menteri Besar mesti ditanya.
Payah untuk mengatakan ia bukan satu skandal.
oleh: Subky Abdul Latif
No comments:
Post a Comment